Bajet 2021 Mestilah Menguntungkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November mestilah bersifat inklusif dan mampan yang akan menguntungkan rakyat.

“Rakyat sedang menilai prestasi kerajaan PN (Perikatan Nasional), sama ada lebih baik daripada bajet yang dibentangkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) atau sebaliknya,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru itu tambah Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, antara yang dicadangkan adalah kerajaan meningkatkan pelbagai bantuan, menambah peruntukan pembangunan infrastruktur dan memperkasakan keselamatan negara.

“Perkara-perkara yang disenaraikan adalah berdasarkan situasi semasa dan keluhan rakyat. Jika kerajaan benar-benar prihatin, Bajet 2021 mestilah menguntungkan rakyat,” katanya lagi.

Berikut beberapa cadangan Dr Najmil yang wajar dipertimbangkan dalam Bajet 2021 kelak:

1. Memberikan bantuan secara “one-off” kepada ibu bapa pelajar untuk meringankan beban perbelanjaan persekolah sesi hadapan.

2. Disebabkan ramai bekerja dari rumah, kerajaan wajar meneruskan Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil letrik hingga Disember 2021.

3. Memberi diskaun bil air terutamanya di Selangor di mana lebih 1.2 juta isi rumah yang terjejas bekalan air.

4. Memberi diskaun yuran IPTA dan IPTS sebagai bayaran ganti rugi kepada mahasiswa.

5. Meningkatkan bantuan atau insentif kepada pekebun kecil dan nelayan seperti baja dan input pengeluaran untuk memperkasakan ekonomi luar bandar.

6. Memberikan “swab test” percuma kepada keluarga B40 di mana-mana hospital swasta untuk meringan beban KKM.

7. Setiap keluarga B40 diberikan bekalan pelitup muka untuk kegunaan anak-anak di sekolah bagi meringankan beban ibu bapa.

8. Menyelaraskan agar semua PBT di Malaysia memberikan diskaun cukai pintu dan cukai tanah.

9. Meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membentung penularan Covid-19.

10. Meningkatkan peruntukan bagi biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA dan JPA.

11. Melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN hingga Disember 2021.

12. Memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dan kos rendah terutamanya di kawasan bandar untuk merancakkan pemilikan rumah bagi golongan muda.

13. Menambah peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

14. Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan SME Corp untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS).

15. Meningkatkan peruntukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkasakan usaha melindungi sempadan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.