Wanita UMNO Perak Sokong Ketegasan Parti, Tiada Kerjasama Dengan Dap

IPOH, 27 Okt – Wanita UMNO Negeri Perak menyokong penuh dan senada dengan Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Majlis Tertinggi parti berkenaan ketetapan yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan parti Dap.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin, Wanita UMNO negeri percaya sebarang keputusan yang bakal diambil pasti adalah untuk kebaikan parti dan negara.

“Wanita Perak menasihati semua ahli untuk mengambil sikap bertenang sementara pucuk pimpinan menggalas hala tuju parti seterusnya.

“Wanita Perak diseru untuk merapatkan barisan dan berdiri teguh untuk mempertahankan parti dan negara dari sebarang usaha untuk memecahbelahkan rakyat dan menghancurkan negara yang tercinta,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah itu dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad secara konsisten tegas berpendirian menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Dap serta sesiapa yang mempunyai hubungan dengan parti tersebut dan mahu parti terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Malam tadi, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan Dap serta Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Begitu juga kata Ahmad Zahid, UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’ serta dilaksanakan inisiatif Rekonsiliasi Nasional.

Selain itu, UMNO menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh kerajaan bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dan menggesa gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.