Langkah, Kepimpinan Luar Biasa Diperlukan Untuk Keluar Dari Mod Krisis – Shabery

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan akibat daripada pandemik COVID-19, negara kini berada dalam mod krisis.

Katanya, keadaan luar biasa tersebut memerlukan langkah yang luar biasa dan kepimpinan yang luar biasa.

“Tiga bidang yang mesti dikendalikan oleh mereka yang berkuasa dan wajib ditangani dengan bijaksana. Pertama kesihatan, kedua ekonomi dan ketiga politik.

“Ubat COVID-19 ialah ‘lockdown’ tetapi boleh meruntuhkan ekonomi. Kebebasan ekonomi tak terkawal seperti membeli-belah, restoran, keramaian, pelancongan dan sebagainya pula boleh meningkatkan penularan. Kena cari keseimbangan,” tulisnya dalam satu catatan di Facebook.

Lebih parah lagi katanya apabila politik tidak stabil.

“Bajet (Belanjawan 2021) dua minggu lagi perlukan kelulusan Parlimen. Tanpa sokongan majoriti kita tak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Justeru tambah Shabery, yang berkuasa perlu menurunkan ego untuk mendapatkan sokongan.

“Rundingi semua pihak. Pasti memenatkan. Tidak ada jalan pintas,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.