Keputusan MKT Tepat, Junjung Titah Tuanku Dan Letakkan Rakyat Di Depan – Zaidy

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam untuk terus bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional dan menolak sebarang kerjasama dengan Dap serta PKR.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata keputusan tersebut merupakan satu keputusan yang tepat dan mengambil kira pandangan serta sentimen daripada ahli akar umbi yang sekaligus jelas menunjukkan kepimpinan parti tidak pernah mengenepikan akar umbi dalam menentukan segala keputusan penting melibatkan hala tuju parti.

Menurut beliau keputusan itu juga menunjukkan bahawa kepimpinan UMNO menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti politik mengadakan perdamaian dan mengurangkan permainan politik bagi membolehkan Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menangani COVID-19.

“Dengan ini, fokus UMNO hendaklah terarah kepada mendokong usaha rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional yang didokong Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Sebagai sebuah parti terbesar di negara ini, UMNO perlu menjadi pendokong kepada usaha ini kerana itulah asas perjuangan parti iaitu agenda rakyat sentiasa perlu diutamakan.

“Paling penting ketika ini adalah agenda untuk kepentingan rakyat. Semua telah maklum bahawa dalam kita berhadapan dengan cabaran berhadapan dengan pandemik COVID-19, ia memberi implikasi yang teruk kepada ekonomi negara.

“Ramai rakyat yang kini terkesan daripada impak ekonomi yang sedang meruncing. Ada yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Ekonomi negara ketika ini berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Justeru, tambah Zaidi inilah perkara yang perlu difokuskan dan jangan terjerat dengan permainan politik parti pembangkang yang gilakan kuasa dan akhirnya, rakyat yang terperangkap malah rakyat juga sedang sengsara daripada apa yang berlaku.

Walhal tambah beliau lagi semua ini adalah jerat politik daripada mereka yang mempunyai agenda tersendiri dan mereka sengaja mencetuskan polemik politik kerana mahu melihat parti gagal sebagai salah sebuah daripada parti gabungan di dalam Kerajaan.

“Maka, berhati-hatilah. Jangan mudah kita terjerat. Kita perkukuhkanlah ukhuwah sesama parti di dalam gabungan gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Yang penting jangan biarkan UMNO dipelekehkan.

“Kepada sesiapa sahaja di dalam gabungan Kerajaan hari ini, hormatilah UMNO sebagai parti terbesar. Dan hormatilah setiap pengorbanan UMNO. Sama-samaah kita pulihkan negara ini. Agar kita dapat memutuskan rantaian pandemik Covid-19 sekali gus mengembalikan semula kegemilangan ekonomi negara. Insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.