Jangan Biarkan Rakyat Kecewa Dengan Mandat Yang Telah Diberikan – Zolkafly

IPOH, 27 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyokong kenyataan Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak bahawa semua pemimpin parti politik harus menghentikan permainan politik yang boleh membuatkan rakyat kecewa dengan mandat yang telah diberikan sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu, pembentangan Belanjawan 2021 harus diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh yang demikian, adalah wajar setiap wakil rakyat menyokong pembentangan Bajet 2021 yang akan dibentangkan kelak di Dewan Rakyat.

“Setiap tindak tanduk sebagai wakil rakyat harus diadakan secara musyawarah dan memikirkan kebajikan serta kepentingan rakyat secara khususnya,” tegasnya dalam satu kenyataan.

UMNO Perak juga ujarnya menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas persidangan Majlis Raja-Raja Melayu pada Ahad di mana keputusan Majlis Raja-Raja Melayu amatlah tepat dengan tidak mengisytiharkan darurat.

“DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dapat merasakan denyut nadi rakyat yang menanggung kesempitan hidup akibat daripada Pandemik COVID-19 dari segi kedudukan ekonomi dan kehidupan seharian.

“DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Pemerintah, semua pihak perlu mengambil iktibar dan menghormati Institusi Raja Berperlembagaan di mana setiap cadangan Perdana Menteri selaku Penasihat akan didengari. Ini merupakan kebijaksanaan yang ada pada Tuanku,” katanya lagi.

Justeru, Zolkafly menyeru semua pemimpin parti politik di setiap peringkat harus akur dan mentaati keputusan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tidak meneruskan polemik politik yang boleh menggugat dan menghimpit kehidupan rakyat.

“Pihak kerajaan juga harus bersama dengan rakyat dalam memerangi penularan Pandemik COVID-19 yang semakin meningkat,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.