Agenda Perdamaian Nasional: Keputusan Terbaik Buat Parti Dan Rakyat – Rosni

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Wanita UMNO Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional yang dibuat oleh Presiden Parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan persetujuan keseluruhan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Kata Ketuanya, Datuk Rosni Sohar, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam negeri Selangor yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Majlis Raja-Raja berkenaan penolakan pelaksanaan darurat yang disokong oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi benar-benar mengangkat kebimbangan rakyat agar kestabilan politik negara dapat dikekalkan dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Keprihatinan, kesungguhan dan fokus kerajaan pusat bersama kerajaan negeri perlu dilipatgandakan terutama dalam kerjasama melaksanakan usaha membantu rakyat menghadapi tempoh waktu sukar ini.

“Perbezaan pendapat perlu diketepikan dan setiap pihak yang ingin memberikan bantuan hendaklah diraikan demi menjaga kebajikan rakyat,” ujar ADUN Hulu Bernam itu yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, merujuk kepada keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti yang bersidang malam tadi.

Malam tadi, Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya UMNO menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh kerajaan bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dan menggesa gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Begitu juga kata Ahmad Zahid, UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’ serta dilaksanakan inisiatif Rekonsiliasi Nasional.

Selain itu, mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan Dap serta Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Justeru itu, Rosni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata Wanita UMNO Negeri Selangor menyambut baik dan mensyukuri keputusan kepimpinan parti untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dan kekal di dalam kerajaan Perikatan Nasional dengan kerjasama yang ikhlas tanpa penglibatan PKR dan Dap.

“Doa kami agar Malaysia terus dirahmati dan dijauhkan dari wabak penyakit berbahaya serta mendapat kualiti kehidupan yang lebih baik selepas ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.