Titah Agong: Pemuda UMNO Cadang Lima Perkara Untuk Ahli Politik

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan harapan agar semua ahli-ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam iaitu tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Beliau turut menzahirkan hasrat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Tuanku Majlis Raja-Raja yang telah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

“Diharapkan semua ahli-ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat agar dihentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat.


“Atas semangat yang disarankan Presiden UMNO untuk dilakukan segera gencatan politik dan rekonsiliasi politik (Perdamaian Politik), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan lima perkara,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Cadangan Lima Perkara tersebut ialah:

1. Perdana Menteri memanggil semua Presiden-Presiden Parti-Parti Politik samaada Kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan pra-persidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

2. Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Parti Warisan tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihanraya Kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

3. Libatkan wakil-wakil semua Parti-Parti tidak kira Kerajaan dan Pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas bagi membantu menangani isu-isu berkaitan Pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

4. Rundingan bi-partisan (Kerajaan dan Pembangkang) boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

5. Menghentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi Pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.