Menjunjung Titah Tuanku, Ahli Parlimen Perlu Bermuhasabah – Zahida

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan melahirkan kesyukuran hasil daripada mesyuarat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah mengambil ketetapan tiada keperluan isytihar darurat di negara ini atau di mana mana bahagian di Malaysia.

Ujarnya, sudah pastinya ia satu keputusan yang terbaik buat rakyat dan negara tercinta.

“Kami menjunjung titah Tuanku.

“Kepada ahli-ahli Parlimen tidak kira parti politik diharap dapat bermuhasabah dan patuh pada titah YDP Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Zahida lagi, kini masanya untuk semua pihak bersama-sama berada dalam satu barisan dan fokus bekerjasama memulihkan semula situasi krisis akibat pandemik COVID-19.

“Dengan hanya kerjasama semua pihak, kita dapat menghentikan rantaian pandemik ini.

“Doalah yang terbaik buat Malaysia tercinta. Daulat Tuanku,” katanya lagi.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Muhyiddin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

Pada masa yang sama Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.