Belanjawan 2021 Dokumen Terpenting, Utamakan Rakyat – Shahril

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berharap agar ahli-ahli politik memberi perhatian sepenuhnya kepada Belanjawan 2021 demi mengutamakan rakyat di mana ia merupakan tanggungjawab utama sebagai pemimpin.

Ini katanya selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan ahli-ahli politik agar berhenti ‘politicking’ dan menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat serta mengutamakan Belanjawan 2021 yang akan menjadi sebuah dokumen yang sangat penting bagi negara dalam era pandemik COVID-19 ini.

“Peruntukan kewangan ini perlu diluluskan bagi menampung sistem kesihatan kita agar petugas hadapan mampu mengawal wabak ini. Malaysia kini dalam fasa pemulihan ekonomi dan pada masa ini, hampir seluruh sektor ekonomi negara kita sudah kembali dibuka.

“Bajet ini akan menentukan dan memberi halatuju kepada ekonomi negara kita pada tahun yang akan datang. Kita semua tahu, ramai rakyat telah kehilangan pekerjaan, peniaga kecil dan sederhana terpaksa menutup perniagaan mereka kerana wabak yang melanda dunia pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Petang tadi, Majlis Raja-Raja telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat untuk memerangi ancaman COVID-19 di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat dan untuk memulihkan ekonomi negara,
sebagaimana kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Berhubung isu yang hangat diperkatakan itu juga, Shahril berkata masing-masing mempunyai pandangan peribadi dan ada yang telah mengutarakannya sebelum ini termasuk beliau, tetapi akhirnya yang penting adalah semua pihak perlu akur dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, belanjawan ini penting bagi meringankan beban mereka dan membantu semua yang terjejas dengan inisiatif-inisiatif yang akan dikemukakan dalam bajet yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.