Darurat Untuk COVID-19 Tidak Membawa Pemerintahan Diktator

Tulisan ini adalah lanjutan tulisan awal saya bertajuk “Proklamasi Darurat Jalan Keluar Tangani Covid-19” (Berita Harian, 14 Oktober 2020).

Ketika saya mengemukakan cadangan Proklamasi Darurat Covid-19 dibawah Perkara 150 bagi menghadapi wabak tersebut, ramai yang khuatir kalau-kalau ia membawa kepada pentadbiran diktator.

Kerisauan ini berlaku kerana darurat seringkali dikaitkan dengan kekacauan yang memerlukan pemerintahan yang sangat tegas dan keras.

Bahkan ada yang menimbulkan kerisauan akan berlakunya berlakunya rusuhan seperti zaman darurat peristiwa 13 Mei 1969 jika Darurat Covid-19 dikuatkuasakan. Hakikatnya, rusuhan kaum 13 Mei bukannya berlaku kerana pengisytiharan darurat, sebaliknya darurat diisytiharkan bagi menamatkan rusuhan.

Sejarah membuktikan bahawa proklamasi darurat berjaya memainkan peranan sebagai jalan keluar kepada masalah sedemikian.

Dari sudut yang lain pula, darurat bukan sahaja dibenarkan bagi menangani masalah keselamatan dan ketenteraman awam. Perkara 150 secara jelas menyebut bahawa “jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Soal ekonomi disebut secara jelas sebagai salah satu sebab yang membolehkan darurat diisytiharkan.

Dalam satu kes mahkamah (kes Stephen Kaling Ningkan lwn Kerajaan Malaysia [1968]), Majlis Privi telah menyebut antara lain bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membolehkan darurat diisytiharkan dalam skop situasi yang luas iaitu termasuklah perkara-perkara seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, banjir, jangkitan penyakit, dan keruntuhan kerajaan sivil.

Melihat kepada hakikat ini, pengisytaharan darurat bagi mengatasi wabak Covid-19 bukan satu masalah dari sudut Perlembagaan.

Ada juga yang membayangkan bahawa proklamasi darurat akan menyebabkan negara diperintah oleh pihak tentera dan seluruh negara tertakluk kepada perintah berkurung. Tanggapan ini jauh dari hakikat sebenar.

Dari sudut pemerintahan, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada.

Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementarian dan negeri-negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19.

Apa yang berlaku ialah pemberian kuasa secara jelas dan teratur kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani Covid-19.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan, peranan aktif MKN telah digerakkan untuk menangani wabak ini. Tetapi dari sudut kuasanya agak kurang jelas dan janggal. Masalah ini dapat diatasi dengan proklamasi darurat. Hal ini telah saya perincikan dalam tulisan yang lepas.

Selain itu, ada juga yang menganggap bahawa Proklamasi Darurat Covid-19 akan menyebabkan negara berada di bawah pemerintahan MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara seperti yang berlaku selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Persepsi ini juga menambahkan ketakutan kepada Proklamasi Darurat Covid-19. Istilah MAGERAN atau seumpamanya tidak wujud dalam Perkara 150. Ia ditubuhkan bagi membantu Pengarah Gerakan Negara yang diberi kuasa oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kuasa-kuasa perlu dalam tempoh darurat.

Soalnya apa perlunya MAGERAN pada hari ini, sedangkan kita sudah ada MKN? MKN ditubuhkan pada bulan Julai 1971 setelah MAGERAN dibubarkan pada tahun yang sama. MKN diberi peranan untuk menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah ordinan-ordinan Darurat dan perintah-perintah di bawahnya.

Pada tahun 1979, fungsi dan punca kuasa MKN kemudiannya dikemaskini melalui Arahan MKN No. 1 yang bersandarkan kepada Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979. Kedudukan ini berkekalan sehingga darurat ditamatkan secara rasmi dan akta ini dimansuhkan pada 21 Jun 2012. Pada hari ini MKN melaksanakan kuasanya secara lebih jelas dan tersusun melalui akta khusus iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776).

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa darurat yang diisytiharkan pada tahun 1969 berkuatkuasa secara rasmi dalam tempoh 43 tahun sehingga ia ditamatkan secara rasmi pada tahun 2012.

Dalam tempoh berkenaan beberapa ordinan darurat dikekalkan dan digunakan oleh kerajaan dalam pendakwaan dan pentadbiran. Hakikat ini membuktikan bahawa kedudukan negara dalam keadaan darurat bukanlah satu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi dan perlindungan hak asasi rakyat.

Oleh yang demikian, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak perlu menjadi satu polemik atau ketakutan kepada rakyat Malaysia.

Kita mengharapkan dengan diisytiharkan Darurat Covid-19, penguatkuasaan peraturan dan arahan berkaitan usaha menangani wabak Covid-19 termasuklah melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah lain dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Selain itu, ia juga mampu menyediakan mekanisme yang dapat mengelakkan rakyak terjebak dalam pilihan raya umum dalam tempoh wabak ini.

Mudah-mudahan negara kita dan dunia segera dikeluarkan dari dugaan dan cabaran wabak yang luar biasa ini.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
FELO PENYELIDIK (UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBANGAAN)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
(Penulisan beliau pada 17 OKTOBER 2020 lalu)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.