Terima Pelantikan Sebagai Bendahari BN, Amanah Besar Untuk Digalas, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dengan penuh rasa rendah hati dan atas dasar tanggungjawab serta penghormatan yang tidak berbelah bahagi terhadap setiap parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau menerima pelantikan sebagai Bendahari BN yang baharu.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga sedar, ia merupakan amanah besar yang mesti digalas dengan ikhlas dan sepenuh hati.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya membalas kepercayaan ini demi kepentingan BN terutama dalam usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya.

Sebentar tadi Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Hishammuddin selaku Bendahari BN yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Zahid juga berkata Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya kekal sebagai Bendahari Agung UMNO.

Hishammuddin juga berdoa agar segala urusan dalam memikul amanah yang diberikan kepadanya itu dipermudahkan Allah SWT. – UMNO ONLINE