Redakan ‘Political Climate’: Gencatan Politik Demi Kestabilan Dan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menyambut baik dan memberi sokongan penuh terhadap kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan gencatan politik, demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sesungguhnya ia adalah satu keputusan bertanggungjawab dan bijaksana supaya memastikan kerajaan mempunyai ruang yang cukup untuk memberi keutamaan kepada agenda membantu rakyat mendepani wabak COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

“Keperluan kestabilan politik semasa negara amat diperlukan buat masa ini bagi memberikan ruang dan peluang seluas mungkin bagi kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin serta barisan kabinetnya menumpukan soal menjaga kebajikan rakyat dari COVID-19 di samping mengolah kembali ekonomi negara yang amat terkesan dari pandemik ini.

“UMNO Negeri Kedah yakin dan percaya keputusan tersebut adalah terbaik untuk meredakan keresahan, kesusahan dan penderitaan rakyat dalam kehidupan seharian malah permasalahan ini perlu segera ditangani serta diselesaikan dengan mengambil pendekatan drastik dan efektif.

“Pastinya juga rakyat amat mendambakan sokongan dan bantuan kerajaan bagi membantu kesusahan rakyat terutamanya yang berpendapat rendah dan sederhana,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Jamil Khir, inilah saat di mana semua parti bersama-sama mengetepikan perbezaan fahaman politik dan memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan kepentingan rakyat menghadapi wabak COVID-19 dan meredakan sebentar ‘political climate’ negara.

Untuk rekod, baru-baru ini Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO mengumumkan ‘gencatan politik’ bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang susah akibat hambatan ekonomi dapat diutamakan.

Dalam kenyataan tersebut juga diumumkan UMNO mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengarahkan semua kepimpinan parti ‘dalam Kabinet’ memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha membantu rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.