Henti Politiking… Fokus Atasi Covid 19 Dan Pemulihan Ekonomi

KOTA KINABALU, 23 Okt – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi agar gencatan politik dilakukan bagi memberikan tumpuan membantu usaha-usaha kerajaan menangani penularan Pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Beliau  berkata semua pihak perlu berkerjasama dengan  kerajaan bagi memberikan  fokus terhadap  kesihatan dan keselamatan  rakyat dengan menggandakan usaha bagi membendung COVID-19 daripada terus menular terutamanya di Sabah yang angkanya semakin membimbangkan.

Menurut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri I pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian khusus dan ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat dengan cara menghentikan perbelahan  politik (gencatan Politik ) sebaliknya bersama  dan menyokong usaha kerajaan mendepani cabaran ini.

“Kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan rakyat dengan menangani wabak itu sebaik mungkin.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai rakyat terkesan dan ekonomi negara turut terjejas teruk, namun kini sudah ada tanda-tanda pemulihan bagaimana pun gelombang kedua penularan wabak ini membawa kesan negetif kepada kesihatan dan ekonomi rakyat ” katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi baru baru ini  dalam kenyataan medianya meminta perbelahan politik  perlu dihentikan sebaliknya membantu usaha kerajaan menangani penularan pendemik Covid-19 serta membantu memulihkan ekonomi negara yang semakin menghimpit kehidupan rakyat ekoran penukaran wabak ini.

Menurut Bung beliau yakin dua cabaran itu dapat diatasi apabila rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk menumpukan seluruh jentera bagi memulihkan ekonomi dan mengekang pandemik COVID-19.

Katanya tidak ada gunanya kerajaan diberikan kuasa oleh rakyat namun kehidupan rakyat terbiar dan terabai tanpa tumpuan pengurusan yang sistematik untuk membantu rakyat .

“Kerajaan pusat  dan negeri perlu berkerjasama  memberikan keutamaan kepada perkara asas ,iaitu menyelamatkan  dan melindungi nyawa  rakyat dengan apa cara sekali pun” ujarnya .

Tambah Bung dengan kuasa yang ada pada kerajaan sebaiknya dipergunakan sepenuhnya membantu rakyat yang terlibat dengan menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas dan tidak berkemampuan.

” Di peringkat kepimpinan UMNO Sabah saya meminta agar kepimpinan bahagian turun padang memantau dan menghulurkan sumbangan walaupun dalam jumlah yang kecil bagi membantu golongan yang benar benar memerlukan bantuan” jelas Bung. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.