Hard Truth: PH Suka Politikkan Semua Isu Termasuk Air, Rakyat Tanggung Natijah – Rizam

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua Pembangkang Negeri Selangor Rizam Ismail berkata, masalah air yang semakin kritikal ini terjadi akibat sikap Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mempolitikkan isu walaupun ia adalah demi kepentingan rakyat.

Ujar beliau, ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri Selangor, pelbagai cara telah mula dilakukan bagi mengatasi masalah air yang dijangka bakal berlaku pada 2014 namun selepas BN kalah di negeri Selangor pada tahun 2008, semua usaha tersebut terhenti.

“PH kata BN politikkan isu air tapi sebenarnya merekalah yang mempolitikkan isu air ini. Masalah air ini telah diberitahu ketika BN mentadbir negeri Selangor lagi. Ketika itu, kita telah menjangka akan berlaku gangguan air di Lembah Kelang apabila terdapat penambahan penduduk dan peningkatan ekonomi di negeri Selangor.

“Ketika itu Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo telah membuat beberapa perancangan antaranya membeli air dari negeri Pahang, membina loji Langat 2 dan menukar paip lama sehingga 24 ribu kilometer. Pada tahun 2007 kita telah mula melaksanakan perancangan loji Langat 2 ini bagi menampung masalah air yang djangka berlaku pada 2014.

“Tapi tahun 2008 bila kita kalah PH politikkan isu air kononnya pembinaan loji Langat 2 satu pembaziran kepada kerajaan negeri. Mereka mendesak seolah-olah ini projek kroni dan selepas itu pembinaan terbengkalai… kesannya selepas dua tahun, kita mula alami masalah air dan ia semakin kritikal,” bidas beliau.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg. Air Tawar berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program ‘Hard Truth’ – Sengsara Air Di Negeri Selangor anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Tambah Rizam, kerana sikap PH yang suka mempolitkkan semua isu maka ini rakyat yang menerima natjiahnya.

“Ternyata gangguan air berlaku begitu teruk. Awal September lalu kita sudah alami gangguan air, lepas itu 4 Oktober sekali lagi alami ganguan melibatkan pencemaran air di loji rawatan air Selangor dan 17 Oktober sekali lagi terjadi. Ini menyebabkan rakyat begitu resah dan mula bangkit.

“Inilah yang kita perlukan. Kita perlukan sokongan rakyat untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan negeri Selangor agar jangan terus berpolitik dalam isu air ini. Kerajaan negeri harus menyediakan satu ‘blue print’ untuk atasi masalah air. Jangan hanya pandai cakap sahaja,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.