Sokong Gencatan Politik… Tolak Kerjasama Anwar-Dap Jatuhkan Kerajaan, Fokus Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bermesyuarat secara atas talian pada malam tadi telah memutuskan beberapa ketetapan yang antaranya menyokong gencatan politik.

Berikut ialah keputusan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia:

1. Menyokong gencatan politik (political ceasefire) sebagaimana yang disarankan Presiden UMNO, sekaligus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran Pandemik COVID-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.

2. Menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan terutamanya Dap untuk menjatuhkan Kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi Perdana Menteri.

3. Mendesak agar Kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang (Sumber infografik KWSP).

4. Menyarankan agar Kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi.

5. Meminta Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta. Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

6. Menggerakkan jentera Pemuda UMNO di seluruh 191 Bahagian bagi menjadi pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.