Pendaftaran Muafakat Nasional Tepat Demi Rakyat Serta Kestabilan Politik – Fadzli

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pendaftaran secara rasmi Muafakat Nasional (MN) merupakan keputusan paling tepat demi kebaikan rakyat serta kestabilan politik di negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata ia juga adalah satu keputusan yang ditunggu-tunggu kerana menyatukan dua parti terbesar orang Melayu di negara ini.

Menurut beliau, apa yang diumumkan oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti tersebut baru-baru ini sudah pastilah akan menamatkan segala teka-teki dan persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak selama ini.

“Alhamdulillah… syukur kepada Allah SWT akhirnya Muafakat Nasional akan didaftarkan secara rasmi dan bagi Pemuda UMNO Pahang kita amat mengalu-alukan usaha ini dan kita akan bergerak seiring demi manfaat ummah dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sebelum ini kepimpinan UMNO dan PAS telah bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub seterusnya berkata, kekuatan Muafakat Nasional begitu terserlah sehingga berjaya menewaskan PH dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil termasuklah PRK DUN Chini yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail  dan akhirnya kerajaan PH runtuh dalam tempoh 22 bulan sahaja.

Namun bagi beliau, cabaran paling besar adalah untuk memelihara dan memperkukuh Muafakat Nasional.

“Ia menuntut keikhlasan dan kematangan setiap peringkat kepimpinan kedua-dua parti. Semua pihak perlu berlapang dada dan istiqamah dalam perjuangan ini,” ujarnya.

Kata Fadzli lagi, Muafakat Nasional ini adalah penyatuan politik yang praktikal tetapi berprinsip dan ianya dbina atas dasar saling hormat-menghormati untuk kepentingan agama dan bangsa.

“Meskipun masih di peringkat awal kerjasama, sinergi politik ini cukup kuat. Namun saya ingin tekankan, Muafakat Nasional ini tidak sesekali berhasrat menggugat kedudukan kaum-kaum lain.

“UMNO dan PAS bersatu bagi memperkuatkan Melayu dan Islam serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.