Masa Untuk Bekerja, Tiada Waktu Berpolitik Demi Pastikan Rakyat Terbela – Hamild

TAWAU, 22 Okt – Biarpun musim pilihan raya telah berlalu dan penularan COVID-19 di Sabah dianggap meruncing, namun ini bukanlah masa untuk berpolitik, berdiam diri atau duduk di rumah sahaja sebaliknya usaha dimanfaatkan oleh anggota jentera Barisan Nasional (BN) untuk melunaskan tanggungjawab bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu rakyat.

Bagi ADUN N67 Balung, Hamild @ Hamid Awang, gerakan memastikan kerja-kerja pengagihan bakul makanan daripada kerajaan negeri kepada golongan sasar sedang berjalan lancar.

“Kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat setiap masa tanpa perlu masa-masa tertentu sama ada pilihan raya atau tidak kerana keutamaan kita adalah keselesaan dan kesejahteraan rakyat malah COVID-19 yang sedang melanda kawasan kita ini memberi kesan kepada rakyat.

“Ia membabitkan kawasan kampung yang dikenakan perintah ‘lock down’ dan keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan kuarantin rumah,” katanya.

Dalam hal ini beliau menazahirkan rasa sykur dan menghargai penglibatan pelbagai pihak untuk membantu melancarkan agihan yang dibuat.

“Bagi kita, kita berasa bersyukur kerana kita mempunyai disiplin dan kita benar-benar bekerja demi untuk kepentingan rakyat.

“Walaupun begitu, saya sentiasa tekankan kepada semua pihak agar patuhi SOP setiap masa, penjarakan fizikal dan menggunakan pelitup separuh muka selain kebersihan juga diutamakan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau memaklumkan agihan bakul makanan dibuat mengikut pecahan dengan agihan dilaksanakan berdasarkan jadual serta penyelarasan yang terancang.

Untuk hari ini, agihan dibuat di Taman Alamanda, Ranggu Saujana, Batu 8 dan di Kinabutan Ria, di sini.

Terdahulu Kerajaan Negeri Sabah mengagihkan bakul makanan kepada penduduk terjejas di zon merah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan COVID-19. – UMNO Online