Gencatan Politik Usaha Drastik Pemulihan Negara, Fokus Untuk Rakyat – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu menyambut baik hasrat parti bagi mengenakan gencatan politik dan memberi fokus kepada usaha perihal kepentingan rakyat.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggambarkan parti terus konsisten membela rakyat.

Menurut beliau walaupun parti dimomokkan dengan pelbagai tuduhan seperti menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, prejudis terhadap kerajaan Malaysia ataupun gilakan kuasa untuk berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pengumuman terbaru gencata politik menjelaskan segala-galanya.

“Ternyata amalan politik kotor begini juga memualkan rakyat. Tidak mustahil jua sekiranya rakan-rakan sekutu kerajaan terus berpolitik, rakyat akan menolak PN pada PRU-15.

“Di samping itu, perhatian sepenuhnya kerajaan terutama Perdana Menteri dan saf kabinet negara perlu mengambil endah tentang saranan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki iaitu Pelan Tindakan Khas Negara untuk memulihkan survival ekonomi rakyat.

“Moratorium bank perlu disambungkan semula sekurang-kurangnya hingga Disember 2020. Seterusnya, bagi negeri yang terjejas teruk kerana pandemik COVID-19 gelombang kedua, perlu diberikan insentif kewangan terutama golongan muda, peniaga kecil dan keluarga B40,” katanya kepada UMNo-Online, di sini hari ini.

Tambah Tengku Haphiz Pemuda UMNO Terengganu juga berpendapat, formula untuk mengukuhkan keadaan politik perlu disediakan sebaik sahaja kes COVID-19 mulai reda dan tidak membimbangkan lagi.

Ini kerana katanya situasi sokongan yang goyah terhadap Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri sentiasa diganggu gugat dan diambil kesempatan oleh Anwar Ibrahim dan DAP.

“Ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pembangunan negara mendatang. Akhir sekali, Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu menggesa seluruh anak muda seluruh parti agar menyambut saranan gencatan politik ini dan menyiapkan diri melawan gelombang ketiga COVID-19 ini dengan solidariti,” ujarnya. – UMNO Online