Gencatan Politik Tindakan Tepat Demi Rakyat, Negara Dan Ekonomi – Adzly

KUALA LUMPUR, 22 Okt- Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA) Adzly Ab Manas menyokong tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengenakan gencatan politik demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Katanya, masa inilah UMNO harus turun padang memberi ‘kasih sayang’ kepada ahli-ahli parti dan juga rakyat Malaysia yang merealitikan bahawa UMNO ialah parti yang mementingkan rakyat.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden UMNO yang ternyata sekali mengutamakan keutamaan negara dengan menjaga kebajikan rakyat dan juga ekonomi negara daripada bermain politik.

“Apabila krisis COVID-19 ini, kita dapat lihat negara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu bukan saja di Malaysia bahkan juga di seluruh dunia. Kita lebih fokus memastikan ekonomi rakyat dan juga kepentingan kesihatan terutama sekali rakyat yang harus dijaga… maka nampaklah parti UMNO mementingkan rakyat dahulu,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tegas Adzly yang juga Ketua Peguam Sukarelawan UMNO, cadangan yang dikemukakan oleh Presiden parti amat bertepatan kerana terdapat dalam Perlembagaan UMNO.

“Kalau kita rujuk Perlembagaan UMNO pada fasal 3: Asas dan Tujuan terutamanya pada pasal 3:4 iaitu kita mempertahankan ekonomi rakyat Melayu, Bumiputera dan juga rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru, kata beliau lagi, negeri-negeri yang di bawah pemerintah UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menonjolkan serta membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO/BN merupakan kerajaan yang terbaik.

“UMNO adalah parti yang berjiwa rakyat dan sayangkan negara. Kepentingan negara lebih penting daripada jawatan mahupun kedudukan pada suasana politik masa kini.

“Rekod-rekod yang baik ini ketika menangani krisis COVID-19 akan dibawa kepada agenda Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15 kelak,” ujarnya lagi. – UMNO Online