UMNO Mesti Jadi ‘Champion’ Isu Rakyat – Amin

DAMANSARA, 21 Okt – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Amin Shukor berkata, situasi politik masa kini seharusnya dimanfaatkan oleh UMNO kerana secara keseluruhannya ia memberi banyak ruang dan peluang untuk UMNO dilihat lebih mendahulukan rakyat.

Jelas beliau, lebih tepat lagi adalah, ini masanya untuk UMNO menjadi ‘champion’ (juara) terhadap isu-isu yang berkaitan rakyat jika diberikan fokus yang lebih terperinci.

“Secara jujur, saya berpandangan ada beberapa isu-isu ‘kritikal’ yang perlu kepimpinan dan UMNO ambil kira. Antara isu yang boleh UMNO fokus adalah kepada penyelesaian dan saranan alternatif terbaik dalam meredakan kerisauan rakyat berkaitan COVID-19. Apa sahaja saranan ke arah perlaksanaan polisi dan pemboleh ubah semasa yang menguntungkan rakyat perlu didesak dan dicadangkan secara konsisten oleh UMNO kepada kerajaan.

“Selain isu COVID-19, UMNO boleh membuat desakan bagi menambah baik punca pendapatan serta mewujudkan peluang-peluang ekonomi sekadarnya melalui keadaan sedia ada. Perlu diingat, bantuan dengan perolehan dana semata-mata takkan selesaikan permasalahan rakyat untuk jangka masa panjang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin yang juga Ketua Pemuda UMNO Damansara, UMNO juga boleh mencari alternatif terbaik bagi pemantapan dasar perpaduan dan keharmonian negara.

“Suka atau tidak hakikat yang perlu kita terima adalah Malaysia ini jika diguna pakai sentimen kepelbagaian kaum yang diraikan, akan lebih menguntungkan. Asas ini juga boleh digunapakai dalam segmen pendidikan,” cadang beliau.

Ujar Amin selanjutnya, sebagai persediaan menjadi kerajaan akan datang, UMNO perlu memperlihatkan corak kepimpinan yang sepatutnya ditonjolkan.

“Ianya perlu seiring polisi yang kita akan laksanakan, dalam erti kata yang lain melalui perlaksanaan program, cerminan cara mendekati rakyat, gerak tindak meraikan, kepelbagaian memahami segmen pengundi sama ada partisan atau non partisan (kalau perlaksanaan dari awalnya dilihat meyakinkan maka tak perlu manisfesto panjang lebar).

“Ketika inilah kita perlu guna pakai seluruh kekuatan kepimpinan yang ada dalam kerajaan (baik menteri atau kepimpinan yang mewakili UMNO) supaya menjadi penyampai terbaik yang dilihat boleh ‘perform’ dan ‘deliver’. Jangan beri alasan kononnnya portfolio tidak dekat pada rakyat, konon portfolio tidak penting dan sebagainya kerana hakikatnya zaman kini rakyat akan melihat kepada ‘outcome’ dan bukti yang disampaikan,” ujar beliau.

Selain itu Amin berkata, kepimpinan parti dan pentadbir yang telah sekian lama berpengalaman, perlu akui dan terpaksa akur yang situasi semasa politik masa kini sudah jauh berbeza.

“Mahu atau tidak mahu, kepimpinan perlu bersedia untuk lebih ‘flexible’ kepada pemboleh ubah semasa, kita cuma ada pilihan untuk sedia berubah atau kita akan saksikan rakyat gunakan kuasa mereka untuk menjadikan UMNO rebah.

“Zaman pemimpin betul dan tahu semua perkara bagi saya sudah berlalu. Cuma kelebihan yang kita ada adalah pengalaman yang amat berharga yang orang lain tidak pernah ada, oleh sebab itu pentadbir zaman kerajaan PH gagal memenangi hati rakyat ketika mentadbir (cuma menang Pilihan Raya Umum-PRU sebab fitnah dan tipu daya). Jadi, amat perlu dimanfaatkan ‘kolaborasi’ kepimpinan antara yang lama dan muka-muka baru dengan idea yang lebih segar serta ‘new outlook’.

“Selepas PRU-14 kita perlu akui yang kefahaman serta pengalaman pengundi telah banyak jauh berbeza. Jika kita ada pengalaman mentadbir, mereka ada pengalaman memilih kerajaan siapa yang mereka rasa perlu dan layak… dan jika kerajaan tidak ‘deliver’ mereka akan buat pertimbangan baru yang lebih rasional. Jadi gerak tindak serta susun atur untuk memahami konteks ini amatlah penting. Perlu difahamkan demografi dan ‘pattern psikografi’ dengan betul-betul teliti supaya UMNO tidak syok sendiri,” tegas beliau.

Akhirnya Amin berharap, beberapa tindakan dan konflik dalaman yang agak mengelirukan ahli dan seterusnya mempengaruhi rakyat yang terlalu ditonjolkan oleh kepimpinan UMNO perlu diperbaiki segera kerana ianya telah banyak merugikan UMNO sebenarnya.

“Ketika ini rakyat sedang resah, rakyat sedang susah dan rakyat tidak perlukan sandiwara-sandiwara yang menjelekkan. Kesimpulannya, tugas utama kita masih perlu tetap setia untuk terus memperkukuh ‘rumah sendiri’.

“’Main business’ UMNO jangan ditinggalkan, mengutamakan khidmat dan mendahulukan rakyat jangan sesekali dikesampingkan. Jika ‘rumah’ kuat dan kukuh, ditambah pula tiada anasir-anasir kepentingan peribadi yang mendahului kepentingan parti, maka lebih mudah untuk perihal rakyat kita dahulukan.

“Kita mungkin rasa kita ‘hebat’ tetapi kuasa rakyat jauh lebih kita perlukan untuk menentukan kita pada masa depan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.