COVID-19: Mampukah Kita Bertahan, Adakah Keadaan Akan Menjadi Lebih Baik? – Salleh

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengandaikan jika menjelang tahun hadapan negara berjaya menemui vaksin untuk COVID-19 dan kehidupan rakyat kembali kepada sedia kala, sudah pasti akan mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan kembali ekonomi negara ini.

Katanya, pakar-pakar menjangkakan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 ini adalah lebih teruk daripada yang pernah dialami dunia dalam dekad 1920-an dahulu.

“Ini bukanlah satu petanda baik untuk Malaysia. ‘When the West sneezes, Malaysia catches a cold’. Kemelesetan ekonomi di Barat sudah pasti akan membawa kesan kepada kita.

“Dalam era globalisasi hari ini, tiada satu negara pun yang hidup dalam vakum. Malaysia bergantung kepada Barat sebagai sumber pasarannya, jadi apabila Barat sengsara, kita turut sengsara,” ujarnya dalam satu kenyataan di blognya sallehsaid.com.

Tambahnya, Raja-Raja juga telah menzahirkan kekhuatiran akan kesannya dan kenyataan-kenyataan yang keluar dari istana-istana membayangkan kekhuatiran tersebut.

“Mampukah kita bertahan untuk setahun lagi, atau untuk enam bulan yang akan datang jika kita terus begini?

“Mungkin tidak, kecualilah jika ahli-ahli politik mula mementingkan rakyat dan berhenti mementingkan diri mereka sendiri,” tegasnya.

Ulas Salleh lagi, ia pastinya mampu dilaksanakan jika semua pihak bekerjasama.

“Kita boleh bekerjasama jika kita berfikir sebagai satu pasukan.

“Namun, bagaimana kita hendak membentuk satu pasukan sekiranya kita tidak berfikir sebagai satu pasukan? Soalnya lagi.

Justeru katanya, perkara sedemikianlah yang membimbangkan rakyat Malaysia, dan juga Raja-Raja. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.