Muafakat Nasional Platform Terbaik, Peneraju Muafakat Suara Ummah, Rakyat – Pemuda UMNO, PAS Selangor

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menyokong penuh usaha dalam memperteguh muafakat dan memperkukuhkan perpaduan menerusi pendaftaran Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung kedua-dua parti menerusi kenyataan media pada hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Rizam Ismail berkata, pendaftaran MN menjadi bukti kukuh bahawa muafakat antara PAS dan UMNO terus berjalan dengan baik dan menutup terus mulut-mulut jahat pihak yang cuba merobek muafakat yang telah terjalin.

“Keseriusan dalam mendaftarkan MN secara rasmi ini hakikatnya membuka harapan kepada seluruh rakyat Malaysia yang kini mencari platform terbaik dalam politik tanah air dalam mempertahankan agama, ummah dan mengembalikan kestabilan politik negara ke arah lebih baik.

“Bagi pihak pemuda negeri Selangor dari kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO ialah ini masa terbaik untuk melangkah terus maju ke hadapan menyelamat politik tanah air dengan menjadikan MN sebagai peneraju muafakat suara ummah dan seluruh rakyat berbilang kaum yang cintakan keamanan dan kesejahteraan berteraskan pasak Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan yang sedia ada,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Justeru itu, kedua-duanya berharap agar pimpinan tertinggi parti terus berkhidmat untuk rakyat dan semoga permuafakatan tersebut menjadi titik noktah buat perbalahan parti yang sudah sekian lama. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.