Fokus Bantu Rakyat, Tangani COVID-19 Daripada Terus Berpolitik – Dr Najmil Faiz

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Memandangkan angka kes positif COVID-19 semakin meningkat dari hari ke hari sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata fokus kerajaan pada hari ini haruslah mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyat Malaysia.

Tegasnya, gencatan politik perlu dilakukan serta-merta tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Sebarang usaha untuk menukar kerajaan adalah tidak rasional dan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Cukuplah berpolitik, lupakah penubuhan kerajaan PN (Perikatan Nasional) ini adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada krisis politik yang dicipta PH (Pakatan Harapan).

“Jika kita terus berpolitik tidak kira di pihak PN, BN (Barisan Nasional) ataupun PH, tidak mustahil rakyat akan menolak semua parti pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi dengan mengambil contoh di New Zealand, Perdana Menteri Jacinda Ardern menang besar kerana pentadbiran beliau berjaya mengekang penularan COVID-19 di negara tersebut.

“Rakyat hari ini resah dan gelisah kerana peningkatan COVID-19 semakin meningkat dan jika perkara ini berterusan, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) atau PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) akan dilakukan dan yang terkesan adalah rakyat,” katanya.

Justeru, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu menyeru semua pemimpin perlu akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

“Ini bukan masanya untuk berpolitik tidak tentu arah. Sebaliknya, fokus untuk menyelamatkan negara serta mendukung tinggi kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan.

“Semoga kita semua dilindungi Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.