Wanita UMNO Tegas ‘No Dap’, Perkukuh Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang parti akan sentiasa komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah mempersetujui agar ‘no Dap’, tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan Dap dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Ujar ketuanya Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Wanita UMNO juga yakin dan percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat sesuai dengan status parti keramat di negara ini.

“Kerana itu, Wanita UMNO berharap semua ahli parti khususnya Wanita UMNO supaya tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam parti.

“Jadi, marilah kita terus mengukuhkan benteng parti bagi memastikan tiada lubang yang boleh ditembusi pihak lawan yang mahu melihat parti keramat ini tenggelam,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Sejak akhir-akhir ini, banyak fitnah yang disebarkan untuk memburukkan UMNO dan barisan kepimpinannya. Baru-baru ini tular di media sosial kononnya UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-9 dan perkara ini telah dinafikan oleh UMNO.

Terbaru, tular infografik ucapan tahniah kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.