UMNO Dengan PPBM Boleh Digambarkan Sebagai ‘No Trust, Only Mutual Respect’.

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hubungan UMNO dengan PPBM boleh digambarkan sebagai ‘no trust, only mutual respect’.

Jelas beliau, ini kerana UMNO tidak pernah mempercayai PPBM kerana ia ditubuhkan dengan hasrat untuk memusnah dan menggantikan UMNO.

“Tetapi apabila negara berada dalam keadaan yang gawat pada Februari lepas,
UMNO bertindak menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Hasrat UMNO adalah untuk memberikan impetus atau lonjakan baru kepada
kedinamikan Malaysia terutamanya dengan membawa pengalaman yang ada pada UMNO bagi mentadbir semula negara setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH)
menggagalkan dirinya sendiri dan lari dari mandat mereka.

“Setelah tujuh bulan, kegelisahan UMNO dengan PPBM semakin menyerlah. Umum
mengetahui kenapa UMNO bukan sahaja tidak mempercayai PPBM malah, ‘mutual
respect’ yang tersisa juga telah semakin menipis,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Khaled, UMNO telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan UMNO tidak perlu menjelaskan segala kegusarannya dengan lebih panjang lebar melainkan Perdana Menteri dan PPBM sengaja untuk tidak
memahaminya.

“Samada mereka sengaja tidak mahu faham atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama. Kononnya
PPBM lah yang menyelamatkan UMNO dan menjadikan UMNO kerajaan.

“Sekalipun naratif itu tidak tepat, sekarang bukan masa yang sama untuk berperang
dengan naratif dan perspektif. Sudah tiba masanya, untuk Perdana Menteri menilai
dengan berani dan ikhlas, ke mana haluan kerajaannya, natijah dari tindakan UMNO
kebelakangan ini.

“Banyak pihak melihat kerajaan yang beliau pimpin waktu ini adalah sangat lemah
dengan keanggotaan kabinet yang seakan tidak berfungsi. Sebarang keputusan yang
dilakukan oleh UMNO akan tentunya mengubah kerajaan,” jelas beliau.

Justeru, Perdana Menteri pastinya tahu bahawa keutamaan UMNO ialah untuk terus cuba mempertahankan kerajaan yang sama-sama ia bentuk dan membawa perubahan radikal yang mungkin dapat dilakukan kepada kerajaan yang ada sekarang.

“UMNO mempunyai pelbagai pilihan waktu ini untuk menentukan jatuh bangun
kerajaan PN. UMNO boleh mengukuhkan PN. UMNO juga boleh menumbangkannya malah, UMNO juga boleh mempercepatkan pilihan raya umum.

“Tetapi itu adalah pilihan terakhir UMNO kerana kedudukan pandemik yang melanda negara. UMNO tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan
umum demi suatu pilihan raya.

“Keutamaan UMNO ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis dan untuk itu, UMNO mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri kepada PN,” tegas beliau.

Ujar Khaled lagi, semua pilihan adalah di tangan Perdana Menteri kerana beliau memahami apa yang UMNO kehendaki dan beliau juga tahu apa yang UMNO mampu lakukan.

“Keutamaan UMNO ialah kepentingan terbaik Malaysia dan jika itu juga keutamaan Perdana Menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk merungkai kegelisahan yang UMNO suarakan.

“UMNO akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah
kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang sebenar… kerana kita semua tahu ‘trust is earned, not given’, tambah beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.