Lawatan Menteri Luar China Ke Malaysia Bawa Pelbagai Manfaat Kepada Negara

Hubungan diplomatik Malaysia-China telah dimeterai sejak 1974. Berpegang kepada semangat kesaksamaan, kepercayaan dan saling menghormati sepanjang 46 tahun, persahabatan dua negara ini telah mencoret sejarah kerjasama yang amat berjaya merangkumi pelbagai bidang.

Malah, hasil usaha Kementerian Luar Negeri pimpinan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein sejak Mac lalu, hubungan Malaysia-China semakin akrab seterusnya membawa kepada kerjasama dalam memerangi Covid-19, memperkukuh semula ekonomi, dan perancangan kerjasama pasca pandemik.

China menjadi antara negara penyumbang sumbangan bantuan Covid-19 terbesar kepada Malaysia. China juga negara pertama menghantar pasukan perubatannya ke Malaysia bagi membantu barisan hadapan negara kita perangi Covid-19.

Menteri Luar China Wang Yi menjadi salah seorang Menteri Luar terawal menghubungi Dato’ Seri Hishammuddin pada hari pertama beliau di Wisma Putra.

Baru-baru ini, Wang Yi juga menjadi Menteri Luar Negeri pertama mengadakan lawatan rasmi ke negara ini untuk bertemu Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin. Lawatan ini diadakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Biarpun singkat dan perlu patuhi SOP ketat, namun lawatan ini amat berjaya. Menerusi pertemuan empat mata antara Dato’ Seri Hishammuddin dan Wang Yi, Malaysia-China mencapai beberapa kesepakatan yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara khususnya Malaysia.

Paling utama, China bersetuju mengutamakan Malaysia sebagai negara penerima vaksin Covid-19 mereka sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan. Keputusan China ini sejajar dengan perancangan Wisma Putra menerusi kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘first mover advantage’ dalam menerima vaksin Covid-19.

Ada sebahagian rakyat bertanya, apa pulangan yang diterima China menerusi pemberian vaksin ini?

Pulangannya ialah, Malaysia bersetuju memenuhi hasrat China untuk membeli 1.7 juta tan minyak sawit negara kita hingga tahun 2023. Pembelian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada China dari sudut keperluan minyak sawit mereka, tetapi juga berupaya meningkatkan ekonomi negara dan mengukuhkan FELDA.

Lebih bermakna, kesepakatan ini bakal memanfaatkan seramai lebih 650,000 Pekebun Kecil Sawit dan 112,635 Peneroka FELDA di seluruh negara.

Tidak hanya vaksin dan pembelian minyak sawit, Malaysia dan China turut bersetuju – memeterai memorandum persefahaman behubung kerjasama pasca Covid-19, mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi berhubung kerjasama pasca Covid-19 yang akan dipengerusikan Menteri Luar Negeri kedua-dua negara, dan China komited untuk menggalakkan pihak perusahaannya meningkatkan jumlah import minyak sawit dan produk lain yang dihasilkan Malaysia.

Amat jelas, kesepakatan ini bukan sahaja membuktikan penghormatan China terhadap Malaysia. Malah, ia menyerlahkan kepada dunia bahawa biarpun Malaysia sebuah negara yang kecil dan sedang membangun namun tetap mempunyai pengaruh serta berperanan penting kepada negara maju dan kuasa besar.

Malaysia juga sebuah negara yang mempunyai prinsip dan pendirian teguh. Prinsip dan pendirian ini tidak berganjak walaupun kita perlu berhadapan dengan negara kuasa besar.

Misalnya dalam isu pembukaan sempadan, China ada menyatakan hasrat untuk memulakan inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane) dengan negara kita bagi membolehkan rakyat kedua-dua negara memasuki China dan Malaysia atas tujuan rasmi dan penting. Bagaimanapun, Malaysia bertegas untuk tidak akan melaksanakan inisiatif ini selagi situasi Covid-19 belum benar-benar reda.

Dalam isu Laut China Selatan, pendirian Malaysia kekal teguh. Dalam beberapa bulan ini sahaja Malaysia telah beberapa kali menyuarakan ketegasan bahawa perairan berkenaan mesti kekal sebagai perairan keamanan dan berdagangan. Sebarang perbezaan serta pertikaian di perairan berkenaan perlu ditangani menerusi dialog dan jalan rundingan. Malaysia juga bertegas dalam melindungi kepentingan dan haknya di Laut China Selatan.

Malaysia bukan negara yang gemar memilih kaedah ketenteraan namun Malaysia konsisten mengemukakan nota bantahan kepada negara yang mana kapal mereka menceroboh perairan negara kita. Malaysia juga tidak akan melayan sebarang tuntutan pihak asing ke atas perairan negara. Jika kita layan, maka secara tidak langsung kita telah mengiktiraf tuntutan nereka. Justeru, melayan tuntutan tidak akan Malaysia lakukan sampai bila-bila.

Pendekatan Malaysia di dalam isu kedaulatan (sovereignty) dan hak kedaulatan (sovereign rights) ialah konsisten. Kita tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar. Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian damai disamping menjunjung kedaulatan negara Malaysia.

Kepentingan negara akan tetap kerajaan pertahankan sebaik mungkin walau dengan negara manapun kita bekerjasama.

Namun demikian, Malaysia dan China akan terus mengharungi susah senang demi mencapai pelbagai lagi manfaat bersama. Bak pepatah Melayu, “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing,” “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.”

Oleh: Shahriman Lockman
Felow, (Kajian Dasar Luar Negara dan Keselamatan), Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.