Tindakan UMNO Letak Syarat Baru Kerjasama Dengan PN Tepat Dan Wajar – Johan

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Johan Abd Aziz berkata, tindakan UMNO untuk mengkaji semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) adalah wajar dan tepat pada masanya.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Hulu Langat, sebelum UMNO ditenggelamkan, adalah lebih baik UMNO mengambil tindakan awal bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas sikap tolak ansur parti keramat ini.

“Ini bukan soal UMNO sokong siapa tapi jika kita sudah tahu orang nak tenggelamkan kapal kita, nak hancurkan UMNO, takkan kita hendak biarkan? Sudah pasti kita harus mengambil tindakan sewajarnya dan jika kita hendak menerima bantuan atau kerjasama yang dihulurkan, kita hendaklah meletakkan syarat dalam bentuk hitam putih.

“Ini penting sebagai panduan, jangan nanti ada pihak yang cuba mengambil kesempatan yang akhirnya memberi impak negatif kepada UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Johan, tuduhan UMNO gila kuasa dek kerana tindakan mahu mengkaji semula kerjasama dengan PN adalah tidak benar sama sekali.

“Jika kita lihat, apa yang UMNO terima selama ini adalah tidak setimpal. Kerusi timbalan perdana menteri seharusnya milik UMNO tapi sekarang ini apa jadi dengan kerusi tersebut? Kita patut mendapat kerusi parti yang lebih dan jawatan yang lebih dalam kerajaan tapi kita bersabar walau perkara itu kita tidak dapat.

“Jadi, ini semua adalah bukti UMNO bukan gila kuasa tetapi apa yang kita lakukan adalah untuk melindungi parti UMNO itu sendiri,” tegas beliau.

Untuk rekod, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Menurutnya lagi, parti turut akan mengemukakan syarat baru kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara bertulis dalam masa terdekat.

Selain itu, kenyataan media tersebut turut menyebut UMNO juga mencadangkan agar pendaftaran Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan politik yang sah disegerakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.