Biarpun Suhu Politik Negara Panas, UMNO Terus Fokus Bantu Rakyat Berdepan COVID-19

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Biarpun suhu politik negara agak tidak menentu ketika ini, fokus UMNO Johor sentiasa terarah kepada usaha untuk membantu kerajaan negeri mendepani pandemik COVID-19, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Sri Gading, Datuk Mohamad Najib Samuri.

Menurut beliau semua pihak perlu bersama mencari jalan untuk menyelesaikan segala masalah dan meringankan kesusahan yang ditanggung rakyat ketika ini dan usaha murni Menteri Besar Johor, Datuk Ir Haji Hasni Mohammad dalam mengumumkan pelbagai bentuk bantuan begitu dihargai dan diterima positif rakyat.

‘’Tindakan berterusan seperti ini mesti menjadi keutamaan kerajaan negeri ketika ini. Rakyat masih dahagakan bantuan ketika pandemik yang melanda masih sukar dipulihkan dalam masa terdekat.

‘’Fokus UMNO Johor di bawah kepimpinan Datuk Hasni sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mesti terarah kepada pegukuhan Muafakat Nasional. Penyatuan ummah yang digembleng UMNO dan PAS sejak sekian lama mesti diteruskan dan dijadikan asas dalam membina kestabilan kepada kerajaan negeri dan pusat,’’ katanya menerusi catatan di facebooknya.

Kata beliau lagi sudah tiba masanya Muafakat Nasional diangkat sebagai gabungan politik yang rasmi dan menjadi peneraju utama dalam membuat serta menentukan tindakan dan keputusan penting membabitkan semua parti yang bernaung dibawah kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Najib turut berkata UMNO Johor tidak perlu melayan pelawaan PH Johor untuk menyertai mereka membentuk kerajaan negeri sekiranya benar kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan.

Tegasnya mereka sekadar cuba untuk menangguk di air yang keruh bukannya mahu untuk mengukuhkan kerajaan negeri apatah lagi memberi komitmen untuk membantu rakyat mendepani impak COVID-19.

‘’UMNO Johor bukannya gila kuasa dan tamakkan jawatan. Pegangan kita kekal untuk terus mempertahankan kerajaan negeri sedia ada dan menolak sebarang kerjasama dengan Dap. Usah percaya dengan sandiwara yang cuba dibawa oleh mereka.

‘’Sikap dan tindakan mereka samalah seperti apa yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri, tapi hingga kini gagal membuktikan sokongannya,’’ ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.