UMNO Bukan Gila Kuasa, Jangan Manipulasi Tindakan Pertimbang Sokongan Terhadap PN

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, keputusan UMNO untuk mempertimbangkan menarik sokongan daripada PN bukanlah kerana UMNO gila kuasa tetapi adalah kerana UMNO mahukan sesuatu yang lebih telus dan dalam bentuk hitam putih.

Jelas beliau, tindakan UMNO memberikan jawatan menteri besar kepada parti Pribumi di Perak adalah bukti bahawa UMNO bukan gila kuasa malah sifat kompromi UMNO ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga adalah bukti UMNO mampu bertolak ansur dalam banyak perkara.

“Tetapi ini tidak bermakna UMNO boleh dipijak dan diambil kesempatan. Janganlah ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas sikap toleransi UMNO ini. Apa yang UMNO lakukan adalah kerana kita memikirkan kestabilan politik dan masa hadapan negara juga rakyat.

“Jadi, jangan ada pihak yang cuba memanipulasikan keputusan UMNO untuk meletakkan syarat baru sebelum membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan PN apatah lagi ini adalah selari dengan kehendak dan kemahuan akar umbi,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ketika ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan tindakan UMNO ini ada hubung kait dengan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nizham berkata beliau yakin dengan kepimpinan UMNO yang tegas dengan pendirian ‘no Anwar’ dan ‘no Dap’.

“Saya amat yakin ia tidak ada kaitan langsung kerana keputusan UMNO yang telah diumumkan dulu adalah jelas secara ‘en-block’ iaitu ‘no Anwar’ dan ‘no Dap’… muktamad. Seperti yang saya katakan tadi, jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Apa yang UMNO lakukan adalah demi kebaikan parti,” tegas beliau.

Terdahulu, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberikan syarat baru kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan medianya juga berkata parti akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.