30 MP UMNO Sokong Anwar… ? ‘Abg Lid’ Terdesak Bersandiwara – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 15 Okt – “Wah! Tak sabar sangat nampaknya Abang Lid nak jadi menteri balik, sampai terdesak kena bersandiwara juga,” bidas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyindir Pengarah Komunikasi PKR, Khalid Samad ekoran mendakwa 30 anggota parlimen UMNO menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Tegas Dr Asyraf, kalau betul 30 orang ahli parlimen UMNO sokong Anwar, dedahkan nama-nama mereka.

“Dengan YDP Agong pun Anwar Ibrahim boleh bersandiwara dengan hanya membawa ‘numbers’ bukan ‘names’ (senarai nama), apatah lagi rakyat.

“Seperti yang dipertegaskan, keputusan Majlis Tertinggi UMNO sehingga hari ini tidak pernah berubah iaitu UMNO tidak sesekali menyokong Anwar dan Dap (No Anwar, No Dap!)

“Apakah kalian mahu Kerajaan PH kembali berkuasa?” katanya lagi yang turut menyertakan tanda pagar #kekaltenang dan #kekalmuafakat.

Terdahulu, Khalid dalam sebuah portal memaklumkan bahawa jumlah sokongan terhadap Anwar ialah sebanyak 122 dengan UMNO melibatkan sejumlah 30 dan yang lain ialah 39 daripada PKR, DAP (42) serta Amanah (11).

Untuk rekod, dua hari lalu Istana Negara mengesahkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepadanya sebaliknya Presiden PKR itu hanya mengemukakan jumlah ahli parlimen tanpa menamakan mereka untuk mengukuhkan dakwaan.

Sehubungan itu, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.