UMNO Tidak Tamak Dan Kejar Kuasa – Pemuda UMNO Perak

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pemuda UMNO Perak penuh yakin dan percaya keputusan yang dibuat menerusi Biro Politik parti itu semalam adalah bersandarkan kepada perjanjian sebelum ini bahawa kerajaan hari ini disokong oleh ahli-ahli Parlimen termasuklah daripada parti UMNO itu sendiri.

Ketuanya Ariff Majid berkata lantaran itu kerajaan hari ini bukanlah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dan amat wajar keputusan parti untuk membuat pertimbangan semula dengan berasaskan kepada perjanjian-perjanjian yang akan dikemukakan nanti.

Tegas beliau jika bercakap soal kuasa dan ketamakan untuk menguasai kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri, bukankah masyarakat umum hari ini dapat melihat bagaimana keterbukaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri dalam pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah.

‘’Jika berdasarkan kepada kerusi dan sebagainya…UMNO boleh sahaja ‘demand’ atau minta apa sahaja tetapi semua boleh lihat bagaimana pembahagian jawatan menteri, timbalan menteri dan sebagainya lagi. Kita utamakan kestabilan dan kerjasama yang ikhlas.

‘’Begitu juga di Perak…walaupun kita mempunyai banyak kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jawatan Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu (PPBM). Kita sedia berkongsi kuasa dan sedia bergerak ke depan demi rakyat dan negeri serta negara,’’ katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberikan syarat baru kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata parti itu juga akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar Muafakat Nasional didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

“UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan Negara.

“UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan Negara,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Ariff seterusnya menambah UMNO selama ini sudah berjiwa besar dan soal berkenaan tidak dapat dinafikan sama sekali.

Malah tegas beliau UMNO masih berpegang kepada MN dan jika itulah pertimbangan parti ianya bukanlah perkara yang harus dilihat secara negatif tetapi adalah kerana hakikat dan realitinya adalah sedemikian rupa.

‘Jadi tidak timbul soal UMNO tamak kuasa…gila jawatan dan sebagainya kerana sebelum ini sudah terbukti UMNO telah berkorban dan UMNO berjiwa besar menerima kerjasama politik bersama dengan rakan-rakan yang lain,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.