Sokongan Bersyarat Selari Dengan Kehendak Akar Umbi – Noor Azleen

PASIR GUDANG, 14 Okt – Keputusan UMNO untuk meletakkan syarat baharu, sebelum membuat ketetapan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah selari dengan kehendak dan kemahuan akar umbi UMNO, ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang Noor Azleen Ambros.

Katanya, UMNO dalam membuat pertimbangan sebagai asas dalam penetapan pendirian tersebut pastinya telah meletakkan kepentingan parti lebih dari segala-galanya.

“UMNO telah memperlihatkan soal kelangsungan, maruah serta masa depan parti perlu terus jadi keutamaan.

“Ini melangkaui matlamat untuk berkerajaan semula (secara mutlak) dalam pilihan raya yang akan datang semata-mata.

“‘It is an open secret’ (ianya adalah satu rahsia umum) yang kedudukan dan sokongan UMNO dalam Perikatan Nasional selama ini sebenarnya merugikan UMNO,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Malam tadi, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberikan syarat baru kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan medianya juga berkata parti akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Tambah Noor Azleen lagi, UMNO mempunyai kekuatannya yang tersendiri, sokongan akar umbi yang teguh dan tidak berbelah bahagi, selain jentera di banyak peringkat yang bersedia menghadapi apa jua kemungkinan pada bila-bila masa.

“Apatah lagi soal dasar dan pengalaman menguruskan negara dalam pelbagai situasi, yang semestinya jauh lebih baik daripada Perikatan Nasional,” katanya.

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO Pasir Gudang menyokong keputusan dan pendirian terbaharu parti ini.

“Sokongan ini akan turut disusuli dengan membahaskan perkara ini sebagai usul dalam mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Pasir Gudang pada awal November akan datang,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.