Makluman Rasmi: Tarikh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Empat Peringkat Serta PAU 2020


KUALA LUMPUR, 14 Okt – Merujuk kepada kenyataan media semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengeluarkan surat rasmi pemakluman tarikh baharu Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri bagi seluruh negara.

Katanya, semua mesyuarat tersebut hendaklah diadakan pada 6 hingga 8 Nov ini dan perasmian akan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

“Korum mesyuarat adalah satu perempat (1/4) daripada jumlah wakil-wakil atau ahli yang berhak hadir. Namun jemputan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian empat peringkat itu perlu dibuat melebihi jumlah satu perempat kerana khuatir ada yang tidak boleh hadir pada saat akhir.

“Semua Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian hendaklah diadakan sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing,” jelasnya lagi.

Tambah Ahmad, bagi perwakilan Wanita dan sayap pergerakan (G2) ke Perhimpunan Agung sayap perlu diadakan pemilihan selaras dengan 14.3.6 Peraturan Pergerakan.

“Manakala bagi perwakilan UMNO Bahagian-bahagian (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO juga perlu diadakan pemilihan selaras dengan Fasal 14.5.2 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memaklumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun ini akan diadakan pada 17 hingga 19 Dis.

Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan pada 17 Dis malam manakala keesokannya, 18 Dis hari persidangan dan malamnya pula majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO.

Persidangan bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan diadakan pada 19 Dis. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/10/MESY-PERWAKILAN-BHG-PAU.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.