Kerajaan Perlu Selesaikan Naratif Utama, Demi Kesejahteraan Rakyat – Armand

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata keputusan UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan memberikan syarat baru yang telah diumumkan semalam diibaratkan sebagai ‘2 Side Of Coins’ yang harus dilihat.

Katanya, terdapat dua perkara tindak balas dari akar umbi UMNO yang menyatakan sokongan keputusan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebaliknya di luar parti.

“Pertama, respon majoriti daripada kepimpinan bahagian dan akar umbi cukup positif kerana ketegasan dalam keputusan dibuat oleh UMNO.

“Kedua, respon yang kurang sedap terutama bagi ‘non partisan’ yang melihat sudut yang berbeza iaitu UMNO masih tidak memikirkan situasi utama iaitu pandemik COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menjelaskan naratif utama UMNO yang berpaksikan kepentingan rakyat khususnya dalam isu kebajikan, ekonomi serta pendidikan yang dilihat masih tidak diberikan keutamaan oleh kerajaan.

“Saya dan kepimpinan UMNO beberapa kali nyatakan pendirian bagi lanjutan moratorium bank pada rakyat Malaysia dalam kita masih menghadapi pandemik COVID-19 serta penyelesaian isu pendidikan sekolah rendah dan menengah bagi seluruh Malaysia.

“Saya juga berpendirian tidak setuju ada pilihan raya dalam keadaan situasi kita dalam pandemik COVID-19 serta dalam keadaan ekonomi yang belum stabil,” ujarnya.

Jelas Armand lagi, sebagai pemimpin kecil UMNO, beliau masih meletakkan ketegasan dalam pendirian awal semasa menjadi pembangkang, sebagai contoh iaitu kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, keselamatan perairan Sabah, bantuan prihatin rakyat, isu peguam negara dalam kes Setiausaha Agung Dap Guan Eng serta kepimpinan Pakatan Harapan (PH), menyemak kembali penjualan aset-aset kerajaan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pelbagai lagi.

“YAB Perdana Menteri serta kepimpinan PN (Perikatan Nasional) kena dengar suara bawah ini untuk kita dalami nadi serta denyutan hati mereka dalam situasi terkini yang rata-rata mahukan kestabilan serta kesejahteraan rakyat dalam situasi terkini. Kurangkan mainan politik tapi lebihkan khidmat bakti pada rakyat.

“Ini saja pandangan saya… sebagai pemimpin kecil dalam parti ini yang selalu terlepas pandangan,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.