PKPB/PKPD: Ambil Peluang Moratorium Dan Bantuan Bersasar – Shahril

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata apa jua pandangan berkaitan moratorium, yang jelas ketika ini kerajaan dan institusi perbankan tidak bersedia melaksana moratorium secara pukal.

Tetapi pada masa yang sama katanya, perlu diingat bahawa moratorium dan bantuan bersasar sebenarnya sudahpun berjalan.

“Terbaru, rujuk laporan berita semalam yang memberi sinar kepada mereka yang terkesan dari langkah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Selangor, KL (Kuala Lumpur), Putrajaya – institusi perbankan sedia membantu.

“Yang penting, mohon. Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan 98% daripada permohonan isi rumah telah diluluskan untuk moratorium atau bentuk lain bantuan pembayaran hutang,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Bernama melaporkan institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam dan pelanggan yang berada di beberapa kawasan di bawah pelaksanaan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana peningkatan kes pandemik COVID-19.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) berkata peminjam dan pelanggan di kawasan PKPB atau PKPD yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman atau pembiayaan harus segera menghubungi bank mereka untuk meminta bantuan pembayaran balik.

Manakala dilaporkan juga industri perbankan telah menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya, demikian menurut BNM pada hujung bulan lalu.

Ulas Shahril juga, ramai yang telah mendesak agar moratorium dilanjutkan, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mula-mula menyuarakan idea tersebut berbulan dahulu.

“Tak perlu saya bercakap panjang lebar pro dan kontranya. Boleh rujuk ‘posting’ saya beberapa bulan dahulu berkenaan pendekatan bersasar,” tambahnya.

Berhubung dengan moratorium bagi sektor perniagaan, belum ada info berapa peratusan permohonan yang lulus, katanya lagi.

“Jika sama tinggi, bermaksud rakyat secara amnya yang terjejas mata pencarian, boleh mohon dengan bank masing-masing dan kebarangkalian mendapat bantuan itu tinggi.

“Sebarkan supaya lebih ramai yang mendapat manfaat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.