Pertemuan Dua Hala Malaysia-China Bawa Manfaat Besar… China Setuju Beli 1.7 juta Tan Minyak Sawit

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara China bersetuju menandatangani memorandum persefahaman Pasca COVID dan berkongsi vaksin COVID-19.

Jelas beliau, pertemuan dua hala antara beliau dan Menteri Luar China, TYT Wang Yi dapat mempereratkan lagi hubungan keakraban dan memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan COVID-19.

“Gembira untuk saya rumuskan, pertemuan empat mata saya dengan Menteri Luar China, TYT Wang Yi tadi cukup bermakna.

“Ia bukan sahaja menggambarkan keakraban malah mencerminkan penghormatan China terhadap negara kita.

“Alhamdulillah, lima manfaat besar diperolehi Malaysia hari ini, bukan sahaja dari sudut vaksin tetapi juga ekonomi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Berikut merupakan lima manfaat yang diperolehi hasil pertemuan tersebut.

1. Memorandum Persefahaman Berhubung Kerjasama Pasca COVID-19.

2. Mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi berhubung kerjasama Pasca COVID-19, akan dipengerusikan Menteri Luar kedua-dua negara.

3. China menyatakan komitmen untuk berkongsi vaksin COVID-19 mereka sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan dan menyenaraikan Malaysia sebagai negara penerima utama.

4. China komited untuk menggalakkan pihak perusahaannya meningkatkan jumlah import minyak sawit dan produk lain yang dihasilkan Malaysia.

5. China setuju membeli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia hingga tahun 2023.

Untuk rekod, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dua hala dengan negara China berkuatkuasa pada 31 Mei 1974. Hubungan diplomatik ini terus berkekalan kerana China mempunyai impak yang sangat besar pada ekonomi dan perdagangan global.

“Insya-Allah, di pihak Wisma Putra, saya dan seluruh warga Kementerian akan terus berusaha sedaya upaya demi membela kepentingan rakyat dan negara tercinta,” ujarnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.