Istana Negara Dedah Sandiwara Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Okt – “Habis satu Malaysia bergegar kerana seorang manusia yang beriya-iya nak jadi PM (Perdana Menteri). Cukup-cukuplah bersandiwara, fokuslah agenda bantu rakyat yang sedang resah, susah dan gelisah!”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebooknya.

Asyraf berkata demikian merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara yang berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa sokong beliau, namun tidak kemuka senarai nama untuk kukuhkan dakwaan tersebut.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Pada 23 Sept lalu, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.