COVID-19 Satu Cabaran, Bersama Satu Padu Hilangkan Keresahan Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berpandangan semua pihak seharusnya memandang ke depan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini lebih meruncing berbanding isu ahli politik yang kerap kali menimbulkan keresahan pada rakyat.

Pada hakikatnya jelas beliau inilah waktu untuk semua pihak bersatu padu, untuk semua rakyat bahawa musuh yang lebih kuat sekarang di hadapan adalah virus yang boleh membunuh (COVID-19).

“Dalam menangani wabak COVID-19, saya berharap kepada pihak-pihak tertentu yang masih bersandiwara menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah dalam isu kenaikan angka jangkitan COVID-19, hentikanlah tindakan tersebut.

“Duka dan pedihnya kenaikan angka jangkitan wabak COVID-19 kita semua yang merasainya. Angka naik selangkah ke tiga angka bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan dengan pematuhan SOP kendiri yang ketat serta penuh berdisiplin,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau semua pemimpin kerajaan dalam Perikatan Nasional perlu berkerja keras dalam menangani krisis kenaikan jangkitan Wabak COVID-19 ini, dan masyarakat akan hilang kepercayaan kepada sistem jika kerajaan gagal menangani krisis ini dengan baik.

“Situasi ini akan mencipta masyarakat yang berpandangan mereka tidak memerlukan parlimen atau demokrasi untuk mentadbir negara.

“Di sebalik kesan buruk COVID-19 kepada demokrasi, COVID-19 juga mampu mencipta solidariti antara masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia untuk mengambil berat antara satu dan yang lain. Keakraban dan solidariti kemanusiaan dalam keadaan yang menakjubkan ketika ini,” ujarnya.

Ujarnya lagi mereka yang merasakan tidak dilayan dengan adil selama ini oleh pihak Kerajaan akan merasa bertambah tidak adil dan kumpulan masyarakat yang selama ini berstatus miskin akan rasa mereka kian hilang punca pendapatan sekiranya tiada lagi bantuan khusus oleh pihak Kerajaan ketika wabak COVID-19 kian melonjak naik dalam negara.

Katanya semak dan imbang kepada kerajaan sama sekali tidak berlaku ketika krisis dan ini akan membuka risiko kepada ketirisan dan salah guna kuasa.

“Dalam pada itu, kurangnya koordinasi dengan semua pihak berkepentingan bermaksud kerajaan persekutuan tidak komited bekerjasama secara serius dalam memerangi Covid-19. Itu yang rakyat sering luahkan ketika ini.

“Akhir sekali, adalah tepat kalau semua ceritera politik dalam negara ini termasuk pembangkang, memberi tumpuan kepada COVID-19 kalau pun tidak menyokong memberi idea, atau tindakan fizikal, tetapi berilah peluang kepada kerajaan yang ada sekarang ini menguruskannya.

“Semoga kita bersatu padu dalam melawan wabak COVID-19, ayuh kita semua patuh SOP dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial pada setiap masa,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.