Politik Mesti Punyai Prinsip – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dalam berpolitik mestilah mempunyai prinsip.

Tegas Ahli Parlimen Pontian itu, beliau bukan kaki lompat parti dan tiada kaitan dengan Dap serta PKR.

Ahmad berkata demikian merujuk kepada tular grafik rekaan yang memaparkannya sebagai Menteri Kewangan kononnya Kabinet kerajaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan laporan sebuah portal The Coverage.

“2 kali saya tercatat sbg (sebagai) Menteri Kewangan 2. Sekali Menteri Kewangan 1 Guan Eng, sekali @anwaribrahim dlm (dalam) senarai yg (yang) entah rekaan siapa,” ciapnya di Twitter.

Jelasnya lagi, partinya UMNO dan Barisan Nasional (BN) teguh dalam Muafakat Nasional dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya menegaskan yang beliau tidak memberikan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu untuk menjadi perdana menteri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebelum ini juga beberapa ahli Parlimen UMNO membuat penafian menyokong Anwar antaranya seperti Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Hasbullah Osman (Gerik), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan beberapa yang lain.

Jumaat lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dilapor berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan untuk beliau menghadap baginda pada esok, Selasa bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada 23 Sept lalu, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.