Rakyat Resah Dengan COVID-19 Tetapi Masih Ada Yang Kemaruk Kuasa – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 10 OKT –  Dalam keadaan negara serta rakyat mengadapi penularan pandemik COVID -19 hari ini, masih terdapat usaha pihak tertentu yang masih cuba untuk menggugat kestabilan politik negara dengan menimbulkan pelbagai polemik serta pelbagai usaha lain yang menyebabkan negara berada dalam situasi yang tidak menentu.

Dan hari ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di laman Twitter miliknya menyifatkan mereka-mereka yang melayani perkara sedemikian rupa merupakan kemaruk kuasa tanpa memikirkan hal yang sebenarnya.

Katanya senarai sebenar mereka yang bersama perlu didedahkan supaya rakyat kenal siapakah mereka yang tersebut.

Katanya lagi ini supaya rakyat tahu dan kenal siapa mereka yang boleh melayan kemaruk kuasa di saat rakyat dalam keresahan akibat pandemik COVID-19.

“Di saat rakyat dalam keresahan dan penularan wabak COVID-19 yang mengancam nyawa, bagaimana boleh mereka melayan kemaruk kuasa dan cuba menggugat kestabilan negara ini.

“Kita harap senarai sebenar segera didedah supaya rakyat kenal siapa mereka,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, hari ini.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat dijadualkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Selasa ini.

Dalam kenyataannya dua hari lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.