Kabinet Baharu Sabah: Masa Untuk Bekerja, Jangan Layan Politik Murahan – Pemuda UMNO Sabah

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pembentukan kabinet kerajaan negeri Sabah semalam melengkapkan struktur pentadbiran kerajaan negeri dalam usaha memacu negeri itu khususnya dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani pelbagai cabaran yang dihadapi termasuklah pandemik COVID-19 yang melanda Sabah serta pelbagai agenda yang lain.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, atas landasan sedemikian hari ini sudah tentu masa untuk bekerja dan masa untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Menurut beliau sudah pasti amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah satu tugas yang mencabar dan politik-politik murahan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak haruslah diketepikan demi kelancaran pentadbiran negeri yang baharu.

‘’Tahniah buat semua wakil-wakil rakyat termasuklah  UMNO Sabah yang telah dilantik menggalas tanggungjawab dan amanah di dalam pentadbiran kerajaan negeri pada penggal ini.

‘’Kita doakan agar kerajaan ini mampu menghidupkan semula ekonomi negeri dan yang terpenting sekali berjaya memutuskan rangkaian COVID-19 yang semakin memuncak dan telah mengorbankan jiwa di negeri ini. Insha Allah sama-sama kita doakan,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam, bekas senator Datuk Kadzim M. Yahya  mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Turut mengangkat sumpah ADUN Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada Bersatu sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sabah dan ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin daripada UMNO (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah).

ADUN Tanjung Keramat Shahelmy Yahya daripada UMNO (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat Sabah), ADUN Karambunai Datuk Yakub Khan daripada UMNO (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah) dan ADUN Sook Datuk Ellron Angin daripada STAR (Menteri Belia dan Sukan Sabah).  Selain itu, 18 ADUN mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri.

Pada 29 September lalu, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II, manakala Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam pula Timbalan Ketua Menteri III.

Seterusnya Abdul Aziz menambah sudah pasti rakyat meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kabinet yang baru itu dan inilah masa untuk membuktikan kepada rakyat bahawa agenda mereka menjadi keutamaan.

‘’Pembelaan kepada rakyat adalah satu perkara yang penting dan tentunya juga soal menghidupkan semula ekonomi negeri menjadi teras utama. Insya-Allah kita sama-sama doakan yang terbaik dan ini adalah masa untuk bekerja dan bukannya melayan sebarang politik murahan,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.