Ini Satu Lagi Posting Fitnah, Bidas Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas ‘fan page’ Facebook Pejuang Tun Dr Mahathir yang memaparkan grafik kononnya beliau menyokong Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebagai Perdana Menteri (PM).

“Ini satu lagi posting fitnah yang memaparkan gambar saya dan seolah-olah kenyataan dari saya.

“Tidak pasti sama ada grup Perjuwang Tun Mahathir ataupun grup Bakal PM Ke-9 yang buat tapi pokoknya menyerlahkan sikap betapa terdesaknya untuk menaiki ‘takhta kuasa’ di kala rakyat sedang sengsara,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook dan juga di Twitternya.

Grafik tersebut secara jelas memaparkan gambar dan nama Dr Asyraf serta dihasilkan seolah-olah dari pihak Pemuda UMNO dengan petikan kata.

“Demi masa depan dan kebaikkan UMNO, kita harus berjiwa besar untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri-9 dan bekerjasama dengan DAP, PKR serta AMANAH. Ia adalah kerjasama yang murni untuk kelangsungan UMNO terus menjadi kerajaan yang berwibawa”.

Untuk rekod, Anwar sebelum ini dalam sidang medianya berkata telah mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan baharu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.