UMNO Siswa Sokong Cadangan Dr Asyraf, Keselamatan Dan Kebajikan Rakyat Lagi Penting

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Timbalan Presiden Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNO Siswa), Najihah Abd Razak berkata cadangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai tidak meletakkan sebarang calon untuk bertanding di Parlimen Batu Sapi Sabah berikutan kematian wakilnya, Datuk Liew Vui Keong adalah satu tindakan yang bernas.

Katanya, penularan COVID-19 adalah isu lebih besar yang membabitkan kesejahteraan, keselamatan dan nyawa setiap rakyat.

“Benar… di saat ini yang perlu diutamakan adalah soal kebajikan, kesejahteraan serta keselamatan rakyat yang begitu terkesan dengan penularan wabak COVID-19 ini. Malah pengajaran perlu diambil ekoran bayi seawal usia setahun telah pun menjadi mangsa wabak ini sekaligus menyebabkan kematian. Ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Ini soal jiwa manusia yang tidak berdosa.

“UMNO Siswa juga ingin mengukuhkan lagi cadangan yang dilontarkan oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan mencadangkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri di Parlimen Batu Sapi untuk memainkan peranan bagi menjaga masyarakat di parlimen tersebut dengan merekod serta memanjangkan isu-isu berkaitan bidang kuasa persekutuan seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

“Kami di barisan Mahasiswa UMNO juga berharap agar pemimpin dari BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) tidak akan menghantar mana-mana wakil untuk bertanding di Parlimen tersebut berdasarkan peningkatan kes COVID-19 yang cukup tinggi ketika ini ,” katanya dalam satu catatan Facebook

Tambah Najihah lagi, parti-parti yang lain juga diharapkan dapat terus menjadikan kebajikan dan keselamatan rakyat sebagai wadah utama tanpa mengira perbezaan dan prinsip perjuangan.

“Jika masih ada parti politik yang degil ingin menghantar calon dan berkempen, tenunglah wajah-wajah ‘frontliner’ kita. Jangan lupa… mereka juga rakyat. Mereka juga perlukan kebajikan, kehidupan mereka telah banyak dikorbankan untuk kita… Malaysia.

“Ingat saat ini… yang paling utama adalah rakyat. Yang paling perlu difikirkan adalah rakyat, yang paling perlu untuk ditolong adalah rakyat,” tegasnya.

Untuk rekod, Liew yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) semasa era Pakatan Harapan (PH), sebelum ini menerima rawatan di hospital tersebut kerana akibat jangkitan kuman di paru-paru.– UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.