Negara Berdepan COVID-19, Anwar Pula Canang ‘Kerajaan Halimunan’ – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris secara sinis mempersoalkan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Menurut beliau sehingga ke hari ini dalam suasana negara yang berdepan dengan COVID-19, Datuk Seri Anwar seolah-olah tidak melihat dengan jelas apa yang berlaku dalam negara.

“Dikala negara masih tidak stabil dengan pandemik COVID-19, Anwar Ibrahim masih lagi cuba untuk menubuhkan kerajaan halimunannya dengan kononnya mempunyai sokongan majoriti.

“Tindakan ini jelas menjejaskan kestabilan politik negara dan hanya membangkitkan kemarahan rakyat. Tolonglah sensitif dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat. Ada yang hilang kerja dan penamatan tempoh moratorium menambahkan lagi beban rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Menjelaskan lebih lanjut Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu seterusnya berkata apa pun sehingga ke hari ini Anwar masih belum mendedahkan jumlah sokongan yang diterima.

“Saya mengatakan kerajaan Anwar Ibrahim adalah kerajaan ‘halimunan’ kerana hingga ke hari ini beliau tidak lagi mendedahkan jumlah sokongan terhadapnya.

“Rakyat tidak sanggup lagi menghadapi pertukaran kerajaan dan krisis kepimpinan dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Fokuslah tentang isu rakyat buat masa ini. Ini bukan masanya untuk kemaruk kuasa dan mengejar kepentingan peribadi,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.