BN Perlu Lakukan ‘Post Morterm’ PRN Sabah Demi Langkah Lebih Proaktif Untuk PRU-15

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, Barisan Nasional (BN) perlu melakukan satu ‘post morterm’ menyeluruh berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ujar beliau, perkara ini penting bukan sahaja untuk mengenalpasti kelemahan serta kekuatan BN di Sabah, tetapi juga untuk menilai kualiti jalinan kerjasama sedia ada bersama parti politik yang lain.

“PRN Sabah menyaksikan BN bersama rakan sekutunya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan. Namun begitu, saya berpandangan BN perlu melakukan ‘post morterm’ berhubung PRN itu.

“Selain itu, ‘post morterm’ tersebut perlulah merangkumi aspek pemilihan kerusi dan calon, jalinan kerjasama strategik, persediaan jentera dan logistik serta data maklum balas sokongan sebelum hari mengundi berbanding keputusan undian.

“Inisiatif ‘post morterm’ ini adalah penting bagi membantu kepimpinan BN menentukan hala tuju parti selain untuk mengatur strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Irwan, ‘post morterm’ ini juga penting kerana BN hanya memenangi 14 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan dan 14 itu semuanya adalah UMNO.

“Jumlah itu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan 29 kerusi yang dimenanginya pada PRU-14. Kita memang menang dalam PRN Sabah tapi jika kita bersendirian ia tidak menunjukkan bahawa UMNO/BN itu kuat maka kita perlu mengetahui apakah punca ia terjadi.

“Ini semua demi memperbaiki segala gerak kerja kita untuk berhadapan PRU-15,” tegas beliau.

Di samping itu, Irwan turut berasa terpanggil untuk menyeru setiap ahli dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan parti supaya menghentikan segala perbalahan atau berbalas kenyataan secara terbuka sesama sendiri samada melalui saluran media arus perdana mahupun di media sosial.

“Sekarang ini adalah masanya untuk semua pihak yang sayangkan parti untuk fokus kepada penyusunan strategi pilihan raya. Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan segala data yang diperoleh adalah tepat agar penilaian berlandaskan maklumat tulen dapat diterjemahkan.

“Perbalahan di media sosial tidak sepatutnya berlaku. Hal dalam ‘rumahtangga’ kita tidak perlu dicanang di luar. Kita boleh selesaikan secara baik. Kenapa perlu kita tembak kaki sendiri sedangkan kita dalam usaha memperkukuhkan parti,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.