Syor Untuk BN Dan PN Tidak Bertanding Di Batu Sapi

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak meletakkan sebarang calon untuk bertanding di Parlimen Batu Sapi Sabah berikutan kematian Ahli Parlimen Mendiang Datuk Liew Vui Keong.

Pengerusi Pemuda BN merangkap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini mengambil kira kegawatan penularan Pandemik COVID-19 yang makin meluas di Negeri Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat.

“Cadangan yang sama juga disyorkan kepada semua parti-parti politik lain termasuk Parti Perikatan Nasional bagi mengekalkan status quo kedudukan Parlimen Batu Sapi di bawah Parti Warisan, menjelang PRK yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Fokus ketika ini harus diberikan untuk membendung wabak virus Covid-19 daripada terus menular, di samping membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang tiada berkesudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Pemuda UMNO percaya sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar denan mengenepikan perbezaan dan persengketaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Dilaporkan, 6 Okt lalu Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P. 185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.