Memalukan…. Bukan Pertama Kali Gangguan Bekalan Air, Kerajaan PH Selangor Gagal – Rizam

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahad lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran yang menyebabkan sejumlah 309,687 akaun pengguna terjejas.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menyelar Kerajaan Negeri Selangor tadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dianggap lemah ekoran kekerapan gangguan terputusnya bekalan air di negeri terbabit.

Tegasnya, pencemaran air ini adalah satu kegagalan dan amat memalukan.

“Rakyat Selangor menderita akibat krisis air bukannya pertama kali malah ia berlaku setiap tahun, bahkan ada juga setiap bulan.

“Perkara ini bukan kali pertama, ini sudah kerap berlaku dan saya kira ini menunjukkan kelemahan pentadbiran, pengurusan dari kalangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari sedangkan Menteri Besar sendiri adalah sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)… jadi kita berharap agar tindakan ini segera diambil .

“Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian dan pihak PBT harus menambil tahu. Kalau mereka (Exco) tidak mampu, letaklah jawatan dan banyak lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang berkelayakan dan menjawat jawatan ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor mengharapkan agar pihak kerajaan negeri dapat memeriksa kembali kilang-kilang di Selangor yang menyebabkan pencemaran ini berlaku.

“Saya kira sudah tiba masanya Menteri Besar perlu melihat kembali kilang-kilang di negeri Selangor yang harus perlu diperiksa kembali sama ada kilang haram dan juga kilang-kilang yang menyebabkan pencemaran dan ini perlu dikaji semula,” katanya.

Dalam hal ini beliau juga menggesa agar Amiruddin memikirkan kesejahteraan rakyat marhaen dan mendengar rintihan mereka.

“Menteri Besar dan Exco duduk di rumah besar, cuba fikir mereka yang tinggal di rumah flat dan sebagainya, bagaimana mereka hendak mengambil air? Cuba dengar rungutan rakyat? Ini bukannya isu politik, ini terang-terang isu rakyat.

“Saya juga berharap agar rakyat bangkit untuk memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya kerajan tahu bahawasanya hari ini pentadbiran mereka sangat lemah dan ia membebankan rakyat di kawasan pekan dan bandar.

“Adakah ini salah kerajaan terdahulu? Ini sudah berlaku sejak 10 tahun mereka memerintah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.