Tumpu Bantu Rakyat Terjejas COVID-19, Bukannya Siapa Sokong Siapa…

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ahli Parlimen Grik, Datuk Hasbullah Osman bukan sahaja kesal malah melahirkan rasa terkejut apabila terdapat pihak tertentu yang mengaitkan nama beliau sebagai salah seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kononnya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan tegas beliau menyatakan bahawa tetap kekal menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa yang ditimbulkan itu sebenarnya satu pembohongan dan penipuan yang sangat tidak bermoral.

‘’Saya tetap kekal dengan pendirian asal tidak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sokong Dap. Bersama-sama kesemua Ahli Parlimen BN menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri serta membentuk kerajaan baru Perikatan Nasional.

‘’Paling penting dalam keadaan negara menghadapi ancaman COVID-19 lebih baik kita fokus membantu rakyat, memulihkan ekonomi serta menyelamat negara.  Negara luar memandang kita sebagai sebuah negara yang tidak  setabil politik yang memberi kesan yang amat teruk pada negara,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Hasbullah seterusnya menambah penafian demi penafian telah dibuat mengenai perkara berkenaan dan apa yang penting hari ini sama-sama membendung penularan COVID-19 dalam negara.

‘’Sehingga ke hari ini, saya sebenarnya tidak pernah dihubungi sama ada Datuk Seri Anwar atau penyokong-penyokongnya. Ini merupakan satu pembohongan dan penipuan yang sangat tidak bermoral. Saya cabar cubalah tubuh kerajaan baru sama ada saya menyokong atau tidak bila tiba waktu.

‘’Saya tetap setia sebagai Ahli Parlimen UMNO bersama-sama semua Ahli Parlimen BN. Tiada yang lebih bermakna jika kita mempunyai kerajaan yang prihatin dengan rakyat serta menjaga masyarakat pelbagai kaum,’’ ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.