COVID-19: Jangan Terpengaruh Angka, Manipulasi Pihak Tertentu… Terus Patuhi SOP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 6 Okt – “Jangan terpengaruh dengan angka mahupun pihak yang cuba memanipulasi isu COVID-19.”

Demikian tegas Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menzahirkan rasa faham dengan kerisauan dan panik sebahagian rakyat Malaysia apabila melihat saban hari peningkatan terhadap kes positif COVID-19.

Namun jelas beliau, apa yang perlu rakyat faham adalah hanya 71 kes daripada 691 (hari ini) yang melibatkan kawasan luar penjara dan kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) kerana itu adalah 394 kes dari penjara Alor Setar, tujuh kes di pusat tahanan perlindungan Taiping dan 219 kes dari kawasan PKPD Sabah.

“Saya faham rakyat panik melihat angka tetapi kita juga perlu lihat kepada fakta. Saya juga tahu ramai yang marah bila saya sebut keadaan terkawal… terkawal maksudnya individu positif telah dikenalpasti dan berada dalam kawasan terlindung dari masyarakat luar iaitu dalam penjara dan juga kawasan PKPD di mana pergerakan mereka diketahui dan saringan bersasar dilakukan.

“Namun ini bukan bererti kerajaan memandang remeh atau berasa cukup selamat. Tidak sama sekali. Kita tetap perlu berhati-hati dan terus mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Percayalah, kerajaan benar-benar prihatin dan setiap hari memikirkan cara terbaik menangani isu COVID ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bera, kerajaan juga sentiasa mendengar luahan dan cadangan rakyat berkaitan isu COVID-19.

“Ramai yang minta diadakan PKP tapi apakah impaknya kalau kerajaan melaksanakan semula PKP ini? Sudah pasti ekonomi kerajaan akan mendapat impak negatif dan mereka yang mencari pendapatan dengan gaji harian juga akan menerima kesan buruk.

“Sebab itu kita hanya tutup kawasan yang telah dikenalpasti seperti daerah, mukim, kampung, rumah pangsa atau taman perumahan,” ujar beliau.

Justeru, Ismail Sabri amat berharap agar rakyat tidak panik dengan cerita-cerita palsu yang beredar di kalangan masyarakat khususnya di media sosial.

“Insya-Allah kerajaan sedang mengambil tindakan sebaik-baiknya untuk mengurangkan penularan COVID-19 ini.

“Apa yang lebih penting adalah peranan kita sendiri. Kitalah yang mampu memutuskan rantaian COVID-19 ini, kitalah sepatutnya menjadi ‘frontliners’. Teruslah amalkan kawalan diri dan kekal selamat dengan mematuhi SOP. Saya yakin, kita semua mampu menempuh gelombang ke dua pandemik ini,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.