Jangan Terpengaruh… Ada Yang Sengaja ‘Bikin Panas’ Salahkan KPT – Penganalisa Politik

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Penganalisa Politik tempatan, Azizi Safar menyeru orang ramai khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) jangan terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja ‘bikin panas’ pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Ujar beliau, pekeliling tersebut hanya mencadangkan pendaftaran atas talian agar tidak berlaku kesesakan berikutan peningkatan pandemik COVID-19 namun sayangnya KPT yang dipersalahkan atas tindakan universiti yang mengambil tindakan ‘tutup pintu’.

“Pekeliling KPT cadangkan empat perkara iaitu, buat pendaftaran pelajar atas talian bagi mengelakkan bersesak, beratur untuk mendaftar secara fizikal, teruskan pembelajaran atas talian, pelajar yang sudah ada di kampus boleh meneruskan tinggal di kampus tetapi sila patuhi SOP dan segala peraturan keselamatan yang IPT sudah tetapkan dan pelajar yang belum kembali ke kampus dan masih di rumah, mereka boleh sama ada meneruskan perancangan ke kampus tetapi kalau memilih untuk batalkan, KPT akan bantu untuk dapatkan pulangan duit tiket.

“Tiada langsung arahan yang dikeluarkan oleh KPT yang menyuruh pelajar segera pulang ke rumah semula setelah tiba di kampus untuk mendaftar diri. Pengurusan IPT yang tutup pintu pagar masuk kampus, tapi KPT dipersalahkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Azizi, pihak IPT seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan perkara ini dan bukannya membuat keputusan yang akhirnya menyebabkan KPT menjadi ‘kambing hitam’.

“Bila timbul masalah sebegini, semua pihak menuding jari ke arah KPT walaupun IPT yang membuat keputusan kerana mereka mmepunyai kuasa autonomi.

“Salah komunikasi atau tidak faham arahan? Sebab itu saya amat berharap agar kita siasat dulu hal sebenar dan jangan mudah percaya kepada berita tidak benar,” tegas beliau.

Berikutan penularan COVID-19 yang meningkat, Jumaat lalu beberapa IPT telah mengeluarkan arahan kepada para pelajar untuk sesi pembelajaran baharau. Dalam hal ini menteri KPT, Datuk Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka namun berharap agar pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.